Penting

Segala tulisan dalam blog ini hanya pandangan peribadi berdasarkan pendidikan, pengalaman, pembacaan dan pemerhatian penulis terhadap kehidupan seharian. Saya menggalakkan penyebaran informasi daripada blog ini. Namunbegitu, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya segala informasi daripada blog ini digunakan untuk tujuan fitnah dan boleh memudharatkan orang lain. Selamat Membaca.

303 CHANNELS HANYA RM40 SEBULAN

Monday 13 February 2012

Sekali lagi: Politik atau Seni?


OLEH 
13 Februari, 2012 | kategori Kolum | komen [0] | Cetak
“Semua penulis adalah politisi”. Itu memang betul apabila politik tidaklah diartikan hanya rujuk Parti Politik. Heboh dikatakan orang, di twitter, di pejabat, warong sampai ke tangga masjid, yang penulis lirik Awan Nano itu adalah politisi.
Apakah yang kita faham tentang “politik”. Saya pernah beri ceramah awam di Muzium Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang tentang hubungan politik-dengan-seni. Rata-rata mahasiswa yang datang, adalah pelajar dalam bidang seni. Di sana, tiga tahun lalu, saya katakan semua karya seni yang dipapar atau dibaca oleh lebih dari seorang, maka karya itu sudah ada unsur politik. Sekali lagi, bukan politik ke-parti-an.
Begitu tafsir itu saya ambil daripada makna politik yang paling murni dan asasi. Apabila satu orang bertemu dengan satu orang, maka bermulalah apa yang disebut sebagai politik. Politik takkan wujud kalau seseorang itu terpendam sahaja di dalam biliknya dan tidak bertemu sesiapa. Begitu juga dengan karya, sekiranya sesebuah lukisan itu, sebagai contoh, digantung sahaja di dalam studio seorang pelukis dengan tak pernah dipamerkan kepada sesiapa, maka tak wujud tafsiran atau permulaan politik. Ia seakan-akan tiada kaitan dengan manusia, kecuali pengkaryanya.
Dalam kata mudah, semua lagu yang dimainkan di radio punya unsur untuk ‘mempengaruhi’ khalayak. Pengaruhnya tidak semestinya tentang menyokong mana-mana kelompok politik, tetapi mungkin sahaja menyebar rasa yang manusiawi. Begitu jugalah dengan filem mahupun apa sahaja bentuk karya, sekiranya dinikmati lebih daripada sang karyanya, maka, ia adalah politik.
Kesian apabila mendengar cerita penulis lirik lagu Awan Nano adalah seorang politisi. Ada yang mula-mula suka, kemudian memaksa telinga untuk tidak suka. Manusia sebegini bukan sahaja datang daripada satu parti sahaja, tetapi daripada pelbagai parti sama ada oposisi mahupun parti pemerintah.
Agaknya ini masalah “kemodenan”. Moden juga bermaksud apabila manusia menyusun cabang dan bidang-bidang di dalam kehidupan mereka. Di era pra-moden, manusia tidak menyusun apa-apa, termasuk tempat tinggalnya. Mereka tinggal di dalam gua, atau di mana-mana sahaja yang difikirkan selamat.
Apabila pengalaman pun terkumpul, barangkali ada yang mati dibaham harimau atau terpijak gajah ketika tidur, manusia mula menyusun hidup dan keperluan hidup untuk tujuan keselamatan. Begitu juga dengan rumah yang pada awalnya dibuat secara berselerak, semakin hari semakin tersusun—walaupun kadang-kala susunan itu juga membosankan. Itu cerita lain. Pokok pangkalnya, manusia “menyusun”.
Lihatlah bagaimana ketika waktu-waktu awal manusia mencipta kereta. Mereka tak terfikir untuk menyediakan tempat letak kereta. Hanya ketika kereta semakin dan semakin banyak, maka sepertimana hari ini, manusia pun merancang tempat letak kereta.
Ayuh dipanjangkan pula kepada bidang ilmu pengetahuan. Manusia mulai menyusun dan memisah-misahkan antara satu bidang dengan bidang yang lain. Sebagai contoh, seorang doktor perubatan bukan seorang pelukis. Seorang peguam bukan seorang ahli agama. Seorang peniaga bukan seorang birokrat. Banyak lagi contoh-contohnya.
Bahkan di sekolah atau universiti, bidang seni dipisahkan daripada bidang sains, bidang teknikal dipisahkan daripada bidang sastera. Pemisahkan ini ada pro dan ada kontra. Ada baik dan ada buruknya.
Pada peringkat awal ilmu berkembang, terutama sebelum dan sewaktu era Renaissance di Eropah, dinding pemisah atau disebut sebagai “dikotomi” itu belum begitu ketara. Seorang ahli kaji bintang, masih boleh sahaja dianggap sebagai seorang sasterawan. Seorang doktor boleh menjadi ahli falsafah kemasyarakatan. Seorang aktivis boleh sahaja menjadi seorang penulis puisi atau lirik. Tradisi ini masih kuat termasuk di dalam sejarah tamadun Islam, terutamanya di Andalusia.
Begitu juga selalu saya sebutkan dan jadikan contoh bagaimana pejuang kemerdekaan  dan pendiri pelbagai bangsa dahulu juga dalah seorang penulis. Soekarno, Hatta dan Muhammad Natsir di Indonesia, bukan hanya seorang ahli politik, tetapi juga seorang penulis. Ada yang menjadi seorang ahli agama. Begitu juga Mahatma Ghandi di India sampailah kepada Thomas Jefferson sebagai bapa pendiri bangsa Amerika Syarikat, juga adalah seorang penulis yang sangat tekun. Baru sahaja di dalam kolum saya yang lalu, “Politik hati Nurani Havel”, saya menulis kenang-kenangan terhadap mantan Presiden Czech.
Havel bukan sahaja seorang presiden, tetapi dia juga seorang sasterawan, seorang pembikin teater bahkan penulis skrip filem. Bagaimanakah lagi hendak saya jelaskan, selepas bertahun-tahun, tentang apa artinya “politik” sebagai bidang asas kemasyarakat. Betapa gelapnya hari-hari kita apabila disebut sahaja sebagai “politik”, terus dirujuk kepada “parti politik”.
Lantas, untuk mengembalikan kejernihan akal fikir masyarakat, sejak saya menemukan apa yang disebut sebagai Pencerahan sebagai cara untuk keluar daripada kebingungan yang sudah melebar. Gunalah apa sahaja istilah, sama ada perubahantranformasi,pembaharuan mahupun reformasi; itu semua tidak akan memberi arti apa-apa andai tidak dilatari dengan pencerahan. Bagi yang belum jelas, “pencerahan” itu merujukan kepada “kecelekan akal”.
Politik kekuasaan boleh membodohkan manusia. Tak kira oleh siapa dan parti apa. Sentiasa ada tendency atau kecenderungan untuk membodohkan manusia. Politikus yang ketagih kekuasaan memang suka andai orang lain, apatah lagi seniman tidak tahu apa itu maknanya politik. Mereka rasa ‘selamat’, tak dicabar. Apabila manusia (baca: rakyat) itu bodoh, maka senang untuk ‘ditawan’. Masyarakat yang terkena penyakit pembodohan akan menjadi bukan sahaja takut dan semakin takut, tetapi juga tidak kreatif. Mereka jumud. Beku.
Jumud, beku adalah permulaan kepada kemunduran tamadun. Memang ada politik yang bisa mengangkat atau menganjak tamadun, namun, ada juga mainan politik kekuasaan yang menarik kebelakang sesuatu tamadun itu. Contoh begini: begitu kasar, biadap dan kotornya mainan politik untuk merebut kekuasaan, maka semakin rosaklah tamadun. Kita boleh temukan gaya tulisan, bahkan lukisan yang bukan sahaja cenderung mencerca, bahkan memfitnah manusia terang-terangan. Lawak jenaka atau dengan alasan seni, maka apa sahaja hinaan seakan-akan terizinkan.
Keadaan ini, pada saya, semakin dan semakin merebak, terutama sejak hampir 15 tahun lalu. Apakah mainan politik sebegini mampu menjadikan kebenaran timbul? Bagi saya tidak. Apakah juga budaya dan tamadun bangsa kita akan berkembang segar dengan cara yang barbarik dan bebalis? Juga tidak dan tidak.
Terpulanglah sama ada untuk mengancurkan bangsa ini secara pelan-pelan, mahupun  mahu membinanya agar setiap nyawa itu bahagia. Sama ada saya dipanggil dengan gelar “ahli politik” atau “seniman”, saya tak punya pilihan kecuali dengan sedar memilih yang kedua.

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

No comments:

Post a Comment