Penting

Segala tulisan dalam blog ini hanya pandangan peribadi berdasarkan pendidikan, pengalaman, pembacaan dan pemerhatian penulis terhadap kehidupan seharian. Saya menggalakkan penyebaran informasi daripada blog ini. Namunbegitu, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya segala informasi daripada blog ini digunakan untuk tujuan fitnah dan boleh memudharatkan orang lain. Selamat Membaca.

303 CHANNELS HANYA RM40 SEBULAN

Tuesday 5 March 2013

Lahad Datu Persis Tragedi Memali?

Tragedi Berdarah Memali
( 19 Nov 1985 – 19 Nov 2008 )


Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh Tan Seri Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri untuk menangkap Allahyarham Ibrahim Mahmud. Ketika itu, Musa Hitam menjadi Pemangku PM kerana Mahathir Muhammad dikatakan tidak ada di Malaysia kerana lawatan ke China. (Namunbegitu, Tun Musa Hitam pernah mendakwa bahawa Mahathir sebenarnya ada di Kuala Lumpur ketika tragedi ini berlaku).

Ustaz Ibrahim Mahmud a.k.a Ibrahim Libya


Nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah yang sangat disegani dan pernah berkhidmat dengan Pusat Islam selama beberapa tahun. Ustaz Ibrahim mendapat pendidikan tinggi di University of Tripoli, Libya. Lantaran itu, beliau dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau meninggalkan Pusat Islam setelah tidak lagi mempercayai kerajaan pusat yang dipimpin oleh UMNO/BN mampu memperjuangkan Islam. Banyak amalan-amalan tidak Islamik dilakukan sewaktu pentadbiran Dr Mahathir Mohamed itu menjadikan Ustaz Ibrahim menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Penyertaan beliau dalam Jemaah parti politik memberi impak besar buat UMNO/BN disaat-saat Ustaz Ibrahim menjadi sebutan masyarakat seluruh tanahair ketika itu.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.


Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Wajah mereka yang tenang menghadap Allah ditambah pula dengan bau wangi yang dapat dihidu oleh orang-orang yang menguruskan jenazah mereka. Esoknya, media yang dikawal pemerintah pun menyiarkan berita operasi ini dengan versi pemerintah. Ust Ibrahim dan rakan-rakan dicap sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam). Bagi PAS yang mempunyai lidah rasminya sendiri iaitu akhbar Harakah memperbetulkan pula berita tersebut. Selepas itu, ribuan umat Islam dari seluruh pelusuk Malaysia bergegas ke Kg. Memali menyaksikan sisa-sisa dosa pemerintah ke atas pejuang Islam.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.


Kesimpulannya, saya merasakan bahawa kejadian di Memali ini sememangnya plot-plot aksi politikus yang cuba mengekal kuasa. Akibat tekanan kuat Ustaz Ibrahim Libya yang mempunyai pengaruh tersendiri, pentadbir kerajaan persekutuan ketika itu telah dengan tanpa belas ehsan membunuh Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya serta pengikut-pengikutnya. Ramai diantara anggota keselamatan yang bertugas ketika operasi berkenaan memaklumkan bahawa mereka hanya diberitahu bahawa Ustaz Ibrahim dan pengikutnya adalah pengkhianat negara. Mereka juga dikaitkan dengan komunis. Ini telah menaikkan semangat anggota keselamatan yang bertugas pada hari kejadian. Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan hati saya senantiasa gundah gulana kerana takutkan plot drama yang sama dilakukan di Lahad Datu. Saya harap kekhuatiran hanya takutkan mimpi sahaja. Saya sangat berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak menggunakan modus operandi yang sama demi untuk mengekalkan kuasa. Apatahlagi, PRU13 yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi. Harapan saya juga agar Najib dan orang-orang kanannya tidak mendedahkan anggota-anggota keselamatan negara yang bertugas dengan luhur semata-mata agenda mempertahankan kuasa sebagaimana yang digembar-gemburkan bahawa plot-plot drama di Lahat Datu hanya mainan politik Najib agar UMNO/BN dan Najib sendiri dilihat sebagai hero dengan harapan pengundi yang rata-rata bersedia memberikan undi kepada calon-calon PR akan terus mengundi UMNO/BN.

Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahziah kepada ahli keluarga tragedi Memali 1985 dan Tragedi Lahad Datu 2013. Semoga Allah SWT menempatkan semua para prajurit di tempat-tempat para syuhada. Al-Fatihah untuk mereka. 


Salam hormat daripada anak Semerah.

Jazakallah...
Merupakan bekas atlet, pernah mewakili negeri Johor dalam sukan bolasepak sejak berumur 12 tahun sehingga 18 tahun. Melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Sukan selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM di Sekolah Menengah Semerah. Di UiTM menamatkan Diploma Kesihatan dan Kecergasan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kep). Memulakan karier di Institut Sukan Negara dibawah seliaan seorang berbangsa Jerman iaitu Jorg Taichmen kemudian dalam industri kecergasan sebelum bersama Pasukan Bolasepak PKNS FC yang bermain di Liga Perdana Malaysia 1 musim sebagai Pakar Kecergasan dan Kecederaan dan musim berikutnya dipancing oleh pasukan Selangor (FAS) selaku Ketua Unit Rehabilitasi selama beberapa musim sebelum membuat keputusan untuk mengusahakan perniagaan sendiri dan aktif dalam politik. Kini, menjawat sebagai Naib Ketua Cabang (Bahagian) PKR Parit Sulong, Johor. 

Pernah mengharumkan nama Malaysia semasa pertandingan rekacipta peringkat dunia di International Trade Fair (IENA), Nuremberg, Jerman pada 5-6 November 2009 dengan memenangi tempat kedua (pingat perak) dengan produk ciptaan bersama Sdr Mohd Noorazam Abd Razak, Pensyarah Kanan, UiTM dan Prof Dr Anuar Suun, Majlis Sukan Negara. Produk dikenali sebagai 'FLEXi Ice Bag' berkaitan alat kemudahan kecederaan dalam sukan.

No comments:

Post a Comment