Penting

Segala tulisan dalam blog ini hanya pandangan peribadi berdasarkan pendidikan, pengalaman, pembacaan dan pemerhatian penulis terhadap kehidupan seharian. Saya menggalakkan penyebaran informasi daripada blog ini. Namunbegitu, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya segala informasi daripada blog ini digunakan untuk tujuan fitnah dan boleh memudharatkan orang lain. Selamat Membaca.

303 CHANNELS HANYA RM40 SEBULAN

Sunday 10 March 2013

Nelayan-nelayan Semerah Menderita

Nama Program : DEMI RAKYAT TURUN KE LAUT
9 Mac 2013, Semerah

Salam sejahtera buat sekalian pembaca budiman. Semoga saudara saudari serta saya dan keluarga senantiasa mendapat perlindungan Allah SWT. Semoga Tuhan melipatgandakan rezeki kita hari ini dan esok. Semoga Allah SWT memelihara pejuang-pejuang agama yang gugur sebelum kita.

Pada 9 Mac 2013, hari Sabtu lalu saya menyertai program Demi Rakyat Turun Ke Laut bersama teman-teman di Semerah. Program ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar kehidupan nelayan-nelayan yang tinggal di DUN N17 Semerah. Kebanyakan mereka adalah nelayan pesisir pantai. Keupayaan bot/ perahu serta enjin bot hanya khusus untuk bermain sekitar pesisir pantai.

Program bermula jam 7.30 pagi dengan bersarapan di Warung Zakaria. Hari ini saya kepingin makan roti canai tampal. Iaitu roti canai kosong ditampal dengan telur goreng (mata kerbau separuh masak). Cicahnya dengan kari Melayu dan sambal pedas. Rasanya amat berbeza dengan kebanyakan roti canai mamak terutama di Lembah Klang. Warung Abang Zakaria ini amat popular bagi penduduk sekitar Pekan Semerah untuk mendapatkan roti canai untuk sarapan pagi. Selain roti canai, warung ini juga popular dengan nasi lemak panasnya. Sekiranya anda berpeluang ke kawasan Semerah pastikan dapat menikmati roti canai Melayu ini. Biasanya pukul 10.30 pagi dah habis. Jadi, anda kena datang awal sikit daripada biasa.
Abang Zakaria di Warung Roti Canai Lokasi sebelah Dewan Orang Ramai Semerah


Beberapa orang sahabat, saya dan Sdr Norisham Amar yang juga merupakan Pengarah Pusat Bertindak Demi Rakyat Semerah telah bersedia untuk turun ke laut pagi itu. Kami menantikan En.Wahid yang merupakan nelayan di DUN Semerah. Beliau 'parking' botnya di Jeti Sungai Sarang Buaya. Selepas bersarapan, kami terus menyediakan keperluan seperti air minuman, tuala, topi dan sebagainya. Kemudian, setibanya di jeti Sungai Sarang Buaya kami telah dinantikan oleh En Wahid dengan bot serta kelengkapan menangkap ikan.
Jeti Sungai Sarang Buaya
Tepat jam 9.00 pagi En Wahid mula menghidupkan botnya. Dan tidak lama kemudian kami mula beredar. Mengharungi sungai itu menuju ke muara mengambil masa diantara 10-15 minit. Kelihatan botnya berusia lebih 8 tahun. Diceritakan pula pada kami ketika perjalanan dalam bot tersebut bahawa beliau pernah kehilangan sebuah bot dan enjin pada beberapa tahun dahulu. Ketika itu, beliau sangat susah selain daripada anak-anaknya yang masih bersekolah. Selepas kehilangan bot tersebut, beliau berasa hampir putus asa kerana itulah satu-satunya sumber pendapatannya iaitu menangkap ikan. Dan bot diperlukan untuk menangkap ikan. Cuba anda bayangkan bagaimanakah perasaan anda sekiranya anda di tempat En Wahid ketika itu?

Beliau menghadapi dugaan tersebut dengan penuh sabar dan tabah. Beliau telah bergolok gadai dan meminjam daripada kawan-kawan untuk membeli kelengkapan baru yang menjangkau perbelanjaan sehingga RM20,000.00.
Terima kasih En Wahid kerana memberikan peluang buat tim Demi Rakyat Semerah menjayakan program ini.

Setibanya di lokasi pertama, kami menyertai nelayan lain dikenali sebagai Abang Daud. Beliau memaklumkan telah berada di situ dengan jaring-jaringnya sejak 1 jam yang lalu. Tidak lama kemudian beliau menarik jaring ke atas dan jaring sepanjang 500 meter itu tidak ada seekor ikan pun yang beliau dapat.

Begitu juga dengan pengalaman kami selama 4 jam berada di laut tidak mendapat sebarang hasil tangkapan. 

Menurut En Wahid ikan memang dikatakan pupus dikawasan tersebut sejak sebelum perayaan Tahun Baru Cina yang lalu. Selama beberapa minggu nelayan pesisir pantai berhadapan dengan masalah ini. Beliau yang nampak hampir sugul memberitahu kami bahawa ini masalah utama yang dihadapi oleh nelayan-nelayan pesisir pantai di sekitar DUN N17 Semerah. 

Epidemik ketiadaan ikan di pesisir pantai ini terjadi beberapa bulan selepas kerajaan negeri Johor membenarkan pengeskportan pasir pantai yang disedut dari kawasan sekitar Muar yang hanya beberapa batu nautika daripada kawasan mereka mencari sesuap nasi. Projek tersebut mendapat sokongan kuat Y.B. Robiah Kosai, ADUN Sg Balang selain restu M.B. Ghani Othman dan kerajaan negeri pimpinannya. Saya sangat meragui projek penjualan pasir berkenaan. Hal ini kerana saya sangat percaya bahawa proses pengambilan pasir tersebut mengganggu ekologi dan sistem sekitarnya sehingga membawa kepada kemusnahan terumbu-terumbu karang yang menjadi pusat dan habitat ikan-ikan pesisir pantai. Natijahnya, ikan-ikan yang sedia ada tidak ada tempat sesuai untuk bertelur. Dan akhirnya jumlah anak ikan hidup berkurang. Sudah tentu selepas itu kadar ikan juga akan berkurang yang menyebabkan nelayan pesisir pantai di sekitar DUN Semerah berhadapan dengan masalah tidak cukup makan!!
Hasil buangan kolam udang di Sarang Buaya di salurkan terus ke pesisir pantai.


Selain daripada itu, pembukaan beberapa pusat penternakan udang di beberapa kawasan di DUN Semerah di pesisir pantai juga mengundang masalah. Dimaklumkan bahawa diantara pusat penternakan udang secara besar-besaran adalah di Sarang Buaya dan Bagan. Pusat-pusat penternakan ini menggunakan tanah awam. Tanah rezab kerajaan negeri. Ia dibiaya sepenuhnya oleh usahawan Singapura. Modus operandinya mereka menggunakan persatuan nelayan tempatan untuk mendapatkan tanah. Menurut sumber tempatan, persatuan nelayan pada mulanya dijanjikan dengan pelbagai kemudahan selain peluang pekerjaan di pusat penternakan bahkan mereka juga dijanjikan perkongsian keuntungan daripada projek tersebut. Malangnya, janji hanya tinggal janji. Mereka juga mempercayai bahawa projek ini mendapat perlindungan politikus tempatan.

Sebagai contoh masalah yang timbul lantaran projek kolam penternakan udang ini adalah hasil buangan terus disalurkan ke laut. Hal ini boleh menyebabkan ikan di pesisir pantai berhadapan dengan risiko pembiakan. Saya khuatir bahan buangan daripada sisa kolam penternakan udang tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia dan mempunyai kadar 'ph' yang membahayakan pembiakan ikan di sekitar peisir pantai DUN Semerah. Anak-anak ikan yang baru menetas mempunyai masalah 'survival' sekiranya hasil buangan tersebut mengandungi kadar 'ph' yang tinggi. Justeru, saya sangat berharap agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia , Kementerian KesihatanKementerian Sumber Asli dan Alam SekitarKementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  mengambil tanggungjawab untuk memastikan hasil buangan tidak mengganggu hasil laut terutama di pesisir pantai DUN Semerah. 
Air sungai semakin keruh dek kerana bahan buangan kolam udang yang menguntungkan usahawan Singapura.

JANGAN SAMPAI PENGUSAHA KOLAM UDANG KAYA RAYA dan NELAYAN SEMERAH TIDAK DAPAT IKAN!!

Selain itu, kami juga sempat melawat beberapa kawasan paya bakau sekitar DUN Semerah ini yang telah dicerobohi. Pokok-pokok bakau yang menjadi dinding di antara kawasan pantai dengan laut telah dijual untuk mendapatkan keuntungan. Pencuri-pencuri kayu bakau ini harus dikenakan tindakan yang sewajarnya kerana mereka mengaut keuntungan dengan mendedahkan penduduk-penduduk dengan bahaya seperti hakisan air, pukulan ombak besar seperti Tsunami dll. Saya berharap penduduk-penduduk sekitar DUN Semerah bersatu hati dengan melaporkan sebarang kejadian pengambilan pokok bakau secara haram. Sekiranya, anda tidak tahu dimanakah tempat untuk membuat laporan. Anda boleh terus ke balai polis berdekatan. Saudara-saudari boleh juga menghubungi pihak saya ditalian 0192910304.
Saya di dalam bot menuju untuk meninjau kawasan paya bakau yang dicerobohi.

Berada di laut pesisir pantai DUN Semerah hampir setengah hari ini membantu saya dan teman-teman memahami dengan lebih dekat permasalahan yang dihadapi oleh para nelayan di kawasan DUN Semerah ini. Memahami masalah utama mereka ketika ini iaitu tiada hasil tangkapan apabila ke laut dan hampir selalu berhadapan dengan masalah tidak balik modal minyak diesel menyebabkan pipi saya dibasahi air mata. Hal ini mengingatkan saya tentang anak-anak mereka di rumah terutama yang masih bersekolah yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Bagi saya bukan bantuan kewangan sekali seumur hidup RM500 diperlukan mereka. Sebaliknya, bantuan untuk mereka mendapat hasil yang lebih optimum adalah lebih baik. Sebagaimana yang saya sebut di beberapa para di atas, badan-badan kerajaan tersebut mestikan memainkan peranan agar hasil laut bertambah. Selain itu, nelayan-nelayan ini juga harus dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran lain supaya apabila epidemik ketiadaan hasil laut ini berlaku mereka tidak perlu meminjam 'ah long' atau bergolok gadai semata-mata untuk dapur berasap.
Kesian Abang Daud sedang menarik jaringnya tanpa sebarang hasil.

Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para nelayan kerana tidak putus asa membekalkan kita dengan hasil-hasil tangkapan mereka walaupun berhadapan dengan pelbagai risiko seperti ribut taufan, ombak besar, laut bergelora dan lain-lain. Saya berharap saudara-saudari juga menghargai usaha para nelayan ini. 

Saya juga bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang untuk bersama dengan para nelayan pada hari tersebut. Semoga dengan pengalaman setengah hari ini memberikan pengertian besar buat saya dan teman-teman. Insyaallah sekiranya saya berpeluang untuk membela mereka nanti akan saya pastikan para nelayan sekitar Semerah mendapat hak dan pembelaan sewajarnya.

Di akhir ini, saya juga berharap agar mendapat lagi peluang untuk bersama-sama dengan warga-warga nelayan di DUN Semerah di masa akan datang. 

Jazakallah.
ZAIHAN ZAINAL
Merupakan bekas atlet, pernah mewakili negeri Johor dalam sukan bolasepak sejak berumur 12 tahun sehingga 18 tahun. Melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Sukan selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM di Sekolah Menengah Semerah. Di UiTM menamatkan Diploma Kesihatan dan Kecergasan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kep). Memulakan karier di Institut Sukan Negara dibawah seliaan seorang berbangsa Jerman iaitu Jorg Taichmen kemudian dalam industri kecergasan sebelum bersama Pasukan Bolasepak PKNS FC yang bermain di Liga Perdana Malaysia 1 musim sebagai Pakar Kecergasan dan Kecederaan dan musim berikutnya dipancing oleh pasukan Selangor (FAS) selaku Ketua Unit Rehabilitasi selama beberapa musim sebelum membuat keputusan untuk mengusahakan perniagaan sendiri dan aktif dalam politik. Kini, menjawat sebagai Naib Ketua Cabang (Bahagian) PKR Parit Sulong, Johor. 

Pernah mengharumkan nama Malaysia semasa pertandingan rekacipta peringkat dunia di International Trade Fair (IENA), Nuremberg, Jerman pada 5-6 November 2009 dengan memenangi tempat kedua (pingat perak) dengan produk ciptaan bersama Sdr Mohd Noorazam Abd Razak, Pensyarah Kanan, UiTM dan Prof Dr Anuar Suun, Majlis Sukan Negara. Produk dikenali sebagai 'FLEXi Ice Bag' berkaitan alat kemudahan kecederaan dalam sukan.

No comments:

Post a Comment