Penting

Segala tulisan dalam blog ini hanya pandangan peribadi berdasarkan pendidikan, pengalaman, pembacaan dan pemerhatian penulis terhadap kehidupan seharian. Saya menggalakkan penyebaran informasi daripada blog ini. Namunbegitu, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya segala informasi daripada blog ini digunakan untuk tujuan fitnah dan boleh memudharatkan orang lain. Selamat Membaca.

303 CHANNELS HANYA RM40 SEBULAN

Thursday 4 July 2013

7 Dosa Besar Ikhwan Muslimin di Mesir: Khalid Fahmy





Salah seorang mangsa terbesar peristiwa semalam di Mesir adalah Duta Besar AS, Anne Patterson. Sejak beberapa bulan yang lalu, dia berkeras untuk berpegang kepada bacaan yang serong tentang senario politik di Mesir, sering melepaskan Ikhwan Muslimin dalam banyak hal. Satu langkah yang pelik minggu lepas, dia juga melawat Khayrat El-Shater, orang kuat Ikhwan di pejabat peribadinya dan memberi cerita yang salah kepada John Kerry tentang penentangan terhadap Presiden Morsi.

Bagaimanapun mangsa terbesar dalam hal ini adalah Morsi dan Ikhwan Muslimin, yang berpegang kepada bacaan yang merosakkan tentang peta politik selepas revolusi dan berjaya memperdaya Patterson (dan banyak diplomat Barat yang lain dan juga wartawan) dengan pandangan mereka yang delusional.


Ikhwan Muslimin dan penyokongnya, dalam dan luar negara, bersalah melakukan tujuh dosa besar berikut:

1. Mempunyai pemikiran bahawa revolusi adalah semata-mata untuk bertanding dan menang melalui pilihanraya yang bebas dan adil. Apabila Morsi menang dengan 52% undi, dia yakin bahawa ini adalah satu sumber legitimasi yang mencukupi. Maka revolusi yang sudah memenuhi objektif utamanya telah pun berakhir. Rakyat harus pulang ke rumah dan hanya memikirkan tentang urusan mereka sendiri sahaja. Ini adalah bacaan yang salah tentang situasi politik. Rakyat tidak turun ke jalanan pada Jan-Feb 2011 dan membahayakan nyawa mereka hanya untuk sebuah pilihan raya yang bebas dan adil. Dan mereka tidak akan pulang ke rumah mereka hanya kerana seseorang telah memenangi pilihan raya presiden (tidak kira siapa pun), sehingga mereka pastikan bahawa individu itu melaksanakan tuntutan utama mereka.

2. Kesalahan kedua yang besar adalah tidak segera menangani sektor keselamatan yakni polis, perkhidmatan rahsia dan pelbagai gerakan paramilitari yang ada. Daripada hari pertama, kami (siapa itu ‘kami’, para demonstran?) menegaskan bahawa revolusi yang meletus pada 25 Januari, Hari Polis, bukanlah suatu kebetulan. Kami (demonstran?) menegaskan bahawa rakyat kecewa dengan keganasan polis dan salah guna kuasa, yang paling serius adalah penggunaan kekerasan sebagai dasar negara. Kami sedar betapa sukar untuk mereformasikan polis tetapi kami telah menyediakan banyak proposal yang konkrit bagaimana perkara ini dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat tetapi dengan cara yang serius. Bagaimanapun, Ikhwan Muslimin tidak mengambil endah akan tugas yang mustahak ini. Sebaliknya, Presiden dan Perdana Menteri berulang kali memuji polis sehingga berterima kasih kepada mereka atas peranan yang mereka mainkan pada revolusi Januari 25 itu. Natijahnya, tidak ada tindakan yang serius diambil terhadap pegawai-pegawai polis yang telah melakukan kekekerasan untuk membawa mereka ke muka pengadilan. Tidak ada seorang pun yang didakwa atas tuduhan membunuh 800 orang demonstran sepanjang Jan-Feb 2011 didapati bersalah.

3. Kesalahan ketiga ialah Ikhwan dan Morsi telah memilih untuk menyiasat pihak media dan kehakiman tetapi tidak pihak polis. Kemuncak pada tindakan ini adalah Dekri Perlembagaan November di mana Morsi menyangka bahawa beliau dapat menghalang rampasan kuasa oleh Mahkamah perlembagaan dengan melakukan rampasan kuasa perlembagaan beliau sendiri. Berdasarkan wawancara dengan Patrick Kingsley di akhbar Guardian, Morsi mengakui bahawa tindakan itu bertentangan dengan kehendaknya dan adalah satu kesilapan. Menurut satu analisa berdasarkan tinjauan pendapat yang dibuat setahun lalu dan diterbitkan dalam artikel Magued Othman di akhbar al-Shorouk, peristiwa tersebut menyebabkan populariti Presiden merudum dan tidak pulih sehingga sekarang.

4. Keempat, Presiden dan kumpulannya sentiasa menyalahkan pembangkang berkaitan dengan apa sahaja masalah dalam negeri ini sejak Morsi dilantik. Berulangkali, Ikhwan menuduh pembangkang tidak berprinsip dan melakukan apa sahaja yang mungkin untuk menghalang segala usaha presiden dan kabinetnya demi menyelesaikan masalah negara ini. Menuduh pembangkang yang menggagalkan rancangan kerajaan menunjukkan kurangnya akal budi. Peranan pembangkang, sudah tentulah untuk membangkang. Peranan mereka bukanlah untuk mengiakan dengan mudah apa yang pemerintah lakukan. Manakala tugas pemerintah adalah untuk mentadbir. Salah satu tugas pentadbiran adalah untuk mendekati pembangkang dan mencuba untuk berbincang dengan mereka. Sebaliknya, pendekatan Ikhwan adalah yang menang dapat semua dan gagal mendapat kata sepakat yang bermakna. Jemputan untuk dialog hanyalah sandiwara dan bukan alternatif yang serius terhadap apa yang dituntut oleh pambangkang: yakni pendekatan yang lebih inklusif dalam merangka perlembagaan, undang-undang pilihanraya yang adil, dan penentangan yang tegas terhadap sebarang usaha untuk menyekat kebebasan bersuara, berhimpun dan sebagainya.

5. Kelima, Ikhwan melihat semua pembangkang sebagai sebagai aparatus felool (rejim lama). Walaupun sudah tentu ada di kalangan ahli perniagaan, wartawan, para hakim dan pegawai-pegawai polis dan tentera adalah felool dan masih bergiat, tetapi jutaan rakyat yang turun ke jalanan tidak boleh dikatakan bahawa mereka dibayar oleh apparatus rejim lama. Peta politik tidak terbahagi dua dengan mudah hanya kepada rejim baru yang tidak berpengalaman dan rejim lama yang korup yang ingin mengekalkan kuasa dan prestijnya. Situasi ini berlaku di banyak negara yang sedang mengalami proses transisi demokrasi. Bagaimanapun di Mesir lebih kompleks. Di samping rejim baru dan rejim lama, ada revolusi. Rejim baru, yakni Ikhwan Muslimin dan Salafi (pemenang lain dalam pilihanraya parlimen), bukanlah mereka yang telah menyeru kepada revolusi ini, dan ramai daripada mereka hanya menyertai revolusi ini di saat getirnya dengan berat hati. Pun begitu, mereka akhirnya yang menang dalam pilihanraya. Ini kerana kekuatan jentera pilihanraya yang mereka miliki. Namun, mengatakan bahawa mereka yang turun ke jalanan dan mereka yang menyertai parti-parti politik, mereka yang menulis di akhbar-akhbar dan mereka yang menari di jalan-jalan, sebagai felool adalah kesalahan yang berat.

6. Keenam, Ikhwan Muslimin telah menunjukkan sifat sebenar mereka yang tidak demokratik apabila mereka memutuskan untuk bertentangan dengan mahkamah perlembagaan, kehakiman, media bebas, NGO-NGO dan menderaf undang-undang pilihanraya yang sangat lemah dan cenderung kepada mereka. Secara teorinya, Ikhwan kelihatan bergantung kepada falsafah politik yang tamat tempoh dan kuno di mana partisipasi rakyat hanyalah bermula dan berakhir di peti undi. Apa yang dinamakan oleh Amr Ezzat sebagai ‘ballotocracy’. Menurut pandangan ini dengan melihat kepada contoh-contoh lalu, pemimpin apabila dipilih haruslah mendapat hormat penuh dan ketaatan daripada pengikutnya. Pemimpin itu sering dibayangkan sebagai kapten sebuah kapal atau kepala sebuah kafilah. Jika kamu tidak mengikut perintahnya, kamu berisiko dibuang ke laut atau ditinggalkan di padang pasir. Ikhwan Muslimin, dan yang peliknya Anne Patterson, kelihatan tidak percaya bahawa peranan presiden adalah hampir seperti CEO sebuah syarikat ataupun presiden sebuah universiti yang bertanggungjawab kepada lembaga pengarah atau kepada pemilik saham dan pemegang amanah; yang berada di bawah undang-undang dan prosedur; dan yang boleh dipecat bila-bila masa sahaja jika dia tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Jika pandangan tentang kepatuhan penuh adalah secara umumnya kolot, sudah tentulah bertambah tidak sesuai di saat revolusi ini. Adalah kesilapan besar untuk Ikhwan/Patterson kerana tidak menyedari bahawa rakyat tidaklah boleh dianggap akan pulang ke rumah masing-masing dan memikirkan tentang hal mereka sahaja selepas membuang undi di pilihanraya presiden.

7. Akhir sekali, Ikhwan gagal untuk sedar bahawa masa mereka telah tamat. Kumpulan ini adalah organisasi rahsia yang ditubuhkan pada tahun 1920 untuk melawan British di Mesir. Dalam sejarahnya yang panjang, mereka telah mengalami penindasan drakonian di bawah ramai pemerintah di Mesir, paling teruk ketika zaman Nasser. Ideologi dan taktik mereka, retorik dan falsafah mereka menunjukkan pemikiran yang tertawan. Ada yang menjangkakan bahawa dengan memperoleh kuasa hasil daripada pilihanraya yang adil dan bebas, yang mana adalah juga hasil daripada revolusi rakyat, maka mereka akan mengambil pendekatan yang lebih terbuka, inklusif dan toleran. Secara peribadi, saya merasakan Ikhwan perlu dibubarkan dan berubah menjadi sebuah parti politik. Sebaliknya, mereka menubuhkan sebuah parti tetapi dengan sikap yang tamak mereka bukan sahaja mengekalkan organisasi mereka tetapi mengekalkan struktur dan mentaliti rahsia dan sulitnya itu. Satu contoh yang diketahui ramai, presiden menunjukkan kecenderungannya yang sebenar apabila memanggil kader-kader Ikhwan dan ahlinya sebagai “keluarga saya”, ini menimbulkan keraguan di minda jutaan rakyat Mesir tentang kesetiaannya. Dan dengan sifat rakus kuasa Ikhwan melantik kader-kadernya dalam institusi-institusi negara untuk mengawalnya. Ini apa yang kita panggil sebagai ‘Ikhwanisasi’. Yang lebih teruk, ‘Ikhwanisasi’ ini berlaku tanpa ada visi, falsafah atau matlamat kecuali untuk mengawal lembaga-lembaga negara. Tambahan pula, buku-buku lama mereka menjelaskan lagi taktik ‘tamkeen’ mereka ini tidak lain untuk memaksakan visi mereka ke atas masyarakat Mesir. Tidak mengejutkan jikalau rakyat Mesir merasa takut dan memberontak.

Saya percaya bahawa Ikhwan Muslimin telah mati. Kematiannya itu sangat tragik kerana berlaku di saat mereka menyangka bahawa masa hadapan milik mereka. Hari-hari terbaik mereka telah menjadi sejarah. Dan apa yang menyulitkan mereka untuk menerima pengakhiran yang tragik itu adalah kerana ia berlaku bukan kerana kecerdikan taktik mereka tetapi hasil kepimpinan yang degil dan keras kepala. Itulah, seperti yang disebut oleh sahabat baik saya Sherif Younis, membuatkan mereka menang semua pertempuran tetapi kalah di medan perang. Inilah dan juga nasihat Patterson yang diberikan kepada El Shater.

Ulasan yang baik untuk memahami situasi yang kompleks di MEsir oleh Khalid Fahmy adalah pensyarah dan juga Ketua Jabatan Sejarah di American University di Kaherah. Tulisan asal bertajuk “The Seven Deadly Sins of Ikhwan Muslimin” ini terbit di Tahrirsquared.com diambil daripada http://jalantelawi.com

No comments:

Post a Comment