Penting

Segala tulisan dalam blog ini hanya pandangan peribadi berdasarkan pendidikan, pengalaman, pembacaan dan pemerhatian penulis terhadap kehidupan seharian. Saya menggalakkan penyebaran informasi daripada blog ini. Namunbegitu, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya segala informasi daripada blog ini digunakan untuk tujuan fitnah dan boleh memudharatkan orang lain. Selamat Membaca.

303 CHANNELS HANYA RM40 SEBULAN

Tuesday 16 July 2013

Senaman dalam Islam - Part 2

Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
(Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Dalam penulisan yang lepas tajuk senaman dalam Islam, saya telah memberi beberapa dalil mengenai senaman dalam Islam. Justeru, penulisan kali ini saya akan memfokuskan kepada jenis-jenis sukan yang digalakkan dalam Islam menerusi saranan dan berdasarkan beberapa sejarah mengenai sukan tersebut dan Rasulullah S.A.W.

1. Sukan Memanah 



Bersabda Rasulullah SAW, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari) 


Kebaikan Memanah

Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi. Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik. Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.

2. Sukan Berkuda
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.” (Riwayat Ahmad)

“Demi Allah! Sungguh Rasulullah SAW pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka dia dapat mengalahkan orang lain, Baginda SAW sangat tangkas dalam hal itu dan mengherankannya.” (Riwayat Ahmad)

Kebaikan Berkuda

Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya. Bentuk lekuk badan belakang kuda – tempat di tunggang- baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia. Semasa pergerakan 'galloping' iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik  pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.

Seluruh anggota : tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem  saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang. Selain itu, menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.


3. Sukan Berenang
Rasulullah SAW bersabda: Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya; Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)

Kebaikan Berenang
Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meningkatkan sistem kardiovaskular. Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani. 

Selain itu, saintis juga menemui bahawa antara cara merawat penyakit asthma adalah dengan berenang. Dan ia dibuktikan dengan banyak kajian dimana subjek adalah penghidap asthma melalui 10-20 sesi renang. Selepas itu, subjek diuji dan sisahkan sudah sembuh daripada asthma. 

4. Sukan Gusti


Malah, ada riwayat menyatakan Rasulullah SAW pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy bernama Rukanah Bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya.
Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukanah akan memeluk Islam. Keputusannya, Rasulullah SAW dapat mengalahkan Rukanah dan memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu. Akhirnya, ahli sukan Quraisy itu memeluk Islam. 


5. Sukan Berlumba Lari 



Dalam satu kisah lain, Rasulullah SAW pernah bertanding berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aisyah ketika bermusafir. Ada ketikanya Baginda menang dan ada ketikanya Rasulullah SAW kalah dalam perlumbaan itu. 

Oleh sebab itu, sukan lumba lari yang merupakan acara utama dalam sukan terbesar iaitu Sukan Olimpik yang dijalankan 4 tahun sekali juga merupakan acara popular dikebanyakan sekolah-sekolah seluruh dunia.

Kesimpulan 
Semua ini membuktikan bahawa tidak ada larangan senaman dalam Islam. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’. Pepatah ini dibuktikan melalui kajian seorang saintis dan menjadi lagenda kepada pelajar-pelajar psikologi dan minda iaitu Sigmund Freud. Beliau telah memperkenalkan teori 'Minds Body Problem' yang menyakan bahawa masalah pada psikologi boleh memberi kesan kepada fizikal dan begitu sebaliknya. Dalam erti kata lain, Sigmund Freud percaya bahawa sekiranya seseorang mengalami kemurungan (penyakit mental) akan memberikan kesan kepada fizikal seperti turun berat badan, tidak ada selera makan dan sebagainya.

Justeru, setiap umat Islam adalah mesti melakukan aktiviti-aktiviti sukan yang digemari selagi ianya tidak bertentangan dengan syarak mengenai cara dan amalan sukan-sukan tersebut. Hal ini kerana dengan melakukan aktiviti sukan ini dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan. Sekiranya umat Islam cergas dan sihat sudah pasti mereka sentiasa bersedia dan berjaga-jaga dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Selain daripada memberikan kesempurnaan kesihatan fizikal dan mental, sukan juga mampu menjadi alat penyatuan umat. Sukan membatasi segala tembok negara, negeri, agama, bangsa mahupun bahasa. Semua peminat bolasepak kenal Cristiano Ronaldo dan semua peminat sukan berbasikal tahu mengenai 'crank' walaupun ideologi politik mereka berbeda. 

Namunbegitu, selain daripada melakukan aktiviti sukan umat Islam dan anda juga mesti mendapatkan pemakanan yang baik dan sihat.

No comments:

Post a Comment